Berita > Berita

Badminton Malaysia
Rexy ambil dua tahun asah mental pemain kita

Minggu, 01 April 2007 23:00:21
1835 klik
Oleh : admin
Kirim ke teman   Versi Cetak

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton beregu negara, Rexy Mainaky mengambil masa dua tahun bagi membina keyakinan diri dan kekuatan mental pemain negara hingga membuahkan hasil melalui beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menjuarai Seluruh England, 11 Mac lalu.

Katanya, pada awalnya, beliau melihat pemain badminton negara tidak menghadapi masalah dalam kemahiran bermain, tetapi masalah besar dalam keyakinan kendiri serta semangat juang.

''Aspek psikologi, mereka punya masalah. Hampir dua tahun, kita fokus kepada kelemahan mental.''

''Di gelanggang fokus utama adalah memperbaiki kelemahan mental,'' katanya pada pertemuan dengan Berita Minggu.

Malaysia meletakkan harapan tinggi pada Kien Keat dan Boon Heong untuk menjuarai kategori beregu lelaki badminton pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China. Pasangan itu memenangi Terbuka Switzerland, 18 Mac lalu.

Rexy yang juga bekas pemain kebangsaan Indonesia berkata, masalah kekurangan semangat juang memang ketara di kalangan pemain badminton Malaysia.

''Tahun lalu, satu lagi beregu negara, Mohd Zakry Latif dengan Gan Teik Chai layak ke suku akhir. Pada mulanya mereka sudah mengawal permainan tetapi tiba-tiba hilang kepercayaan diri,'' katanya.

Rexy berkata, Gan pernah bertanya kepadanya apa masalah sebenar pemain negara yang sering gagal mencapai sasaran.

''Sebenarnya kita tidak kalah dengan China, tidak kalah dengan Indonesia, Denmark atau Korea, tetapi kenapa kita ada kelemahan.''

''Kalau sudah mengalahkan pemain hebat atau mencapai sesuatu pada pertandingan besar seperti separuh akhir atau akhir, kita (pemain Malaysia) sudah rasa seperti puas,'' katanya.

Rexy berkata, beliau sendiri meminta ahli psikologi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberi fokus kepada pemain dengan mengarahkan setiap pemain mengkhususkan satu jam sesi bersama ahli psikologi.

Katanya, kini beliau melihat proses pembentukan kekuatan mental mencapai tahap 80 peratus dan prosesnya berterusan.(bharian.com.my)

Berita Berita Lainnya