Berita > Berita

Peluang Arif buat penampilan sulung

Selasa, 19 Februari 2008 08:06:46
1386 klik
Oleh : admin
Kirim ke teman   Versi Cetak

KUALA LUMPUR - Pemain remaja, Mohd. Arif Abdul Latif berpeluang membuat penampilan pertama pada pusingan kelayakan badminton Piala Thomas di Ho Chi Minh esok kerana Malaysia dijangka menurunkan semua 10 pemain yang disenaraikan untuk mengharungi dua perlawanan dalam tempoh sehari, lapor NORZIE MOHD. KAHSBI.

Pasukan negara, yang diletak sebagai pasukan pertama akan memulakan kempen dengan menentang Filipina pada sebelah pagi, diikuti pertemuan dengan Kemboja di sebelah petang.

Tanpa mengambil kira apakah barisan pemain yang diturunkan dalam kedua-dua perlawanan itu, Malaysia dianggap pilihan untuk menang dengan keputusan 5-0.

Bagi Arif, 19, ini merupakan peluang terbaiknya untuk menyumbangkan mata buat pasukan senior buat kali pertama, biarpun hanya dalam saingan kelayakan Piala Thomas.

Apa yang paling penting, naib juara remaja Asia itu berpengalaman berganding dengan pemain senior seperti Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Muhd. Hafiz Hashim.

''Dua perlawanan pertama dijangka tidak akan memberi banyak masalah kerana kita sepatutnya boleh menang tanpa mengambil kira siapa pemain yang akan diturunkan.''

''Bagaimanapun memandangkan kita akan mengharungi dua perlawanan dalam tempoh sehari, maka ada kemungkinan semua pemain perlu beraksi pada hari pertama.''

''Kalau keputusan ini muktamad, maka Arif juga berpeluang membuat penampilan sulung, dan saya percaya ini adalah peluang terbaiknya untuk membuktikan kemampuan bersaing bersama pemain senior,'' kata ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock ketika dihubungi di Ho Chi Minh, semalam.
Menurut Kim Hock, di atas kertas Malaysia bukan tandingan Filipina atau Kemboja, namun beliau memberi amaran kepada pemainnya agar tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana bimbang ia akan memakan diri sendiri.

Malah, beliau berharap pemainnya juga dapat memberikan persembahan yang mantap apabila berdepan satu lagi pencabar Kumpulan A, Taiwan dalam perlawanan terakhir, Khamis ini.

''Kita sepatutnya tiada masalah untuk muncul juara kumpulan, melayakkan diri ke separuh akhir dan seterusnya mara ke akhir, tetapi kita perlu berhati-hati kerana keadaan kadang kala boleh jadi lebih sukar apabila berdepan lawan kurang dikenali.''

''Mereka sudah tentu tahu tentang corak dan kekuatan setiap satu pemain kita kerana pemain Malaysia sering beraksi pada kejohanan utama, tetapi pemain mereka kurang didedahkan di pentas antarabangsa, jadi kita tidak begitu mengenali mereka,'' katanya lagi.

(utusan.com.my)

Berita Berita Lainnya